Mengenal Diri dan Wali Allah - BAB PERTAMA : Siapakah Kita? Dari Mana Dan Akan Ke Mana? Apakah Dia Ruh Dan Kalbu?
Sabda Rasulullah S.A.W.
"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila ia baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah kalbu (hati)." - Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
Dari keterangan hadis itu dapatlah kita faham bahawa perbicaraan kemuncak asal usul manusia ialah hati (kalbu). Hati dalam diri manusia laksana raja pemerintah yang sangat ditaati oleh rakyat. Manakala anggota-anggota lahir : Umpama kaki, tangan, mata, hidung, mulut, telinga, perut, faraj, zakar dan sebagainya laksana rakyat jelata yang sentiasa patuh pada perintah raja. Bila ia memerintah kaki supaya menendang nescaya menendang lah ia, begitulah seterusnya.
Hati itu juga dipanggil 'hakikat keakuan' - aku itu aku ini, aku pergi ke sana, aku datang ke sini, rumah itu kepunyaan aku, kereta itu aku punya, aku.... aku aku. 'Aku' itulah sebenarnya hakikat insan kerana ia ganti nama bagi ruh atau kalbu dan dia laksana Tok Dalang wayang kulit sedangkan tubuh badan atau anggota-anggota kasar yang lahir laksana belulang kering. Apabila ia bercerai dari tubuh badan kasar nescaya jadi tubuh badan itu sebatang kara umpama tunggul kayu yang menunggu hancur reput.
Dialah yang akan menerima hukum pembalasan sama ada baik atau jahat di negeri akhirat, dialah yang memerintah negara-negara besar di dunia ini. Dialah yang menakluki makhluk-makhluk ini menjadi hamba abdi kepadanya, dialah yang menundukkan benda-benda jamadat, nabatat, hayawanat taat di bawah perintahnya, dialah juga punca hikmat dijadinya alam ini, kalau tidak kerananya sudah tentu segala makhluk dan syurga neraka tidak dijadi.
Dia datangnya dari alam ghaib atau alam al amr, oleh itu dia akan kembali ke alam ghaib. Ia wujud sebelum alam kasar atau alam Syahadah (kenyataan) ini wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia tempat sementara ini kerana ada tujuan untuk menerima ujian. Ia datang dari alam kejadian Tuhan yang aneh (Ruhaniah) yang tidak menerima binasa dan fana selama-lamanya.
Dialah yang menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat, dialah yang akan menerima suka duka dunia akhirat. Dialah yang sudah mengenali Tuhan di alam aruah sebelum benda-benda atau apa-apa ini dijadikan. dialah yang mengetahui segala hakikat suatu dengan tanggapan ilmunya. Dialah yang sudah hidup, melihat, mendengar, bercakap dan seterusnya bersifat dengan sifat-sifat ma'ani sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar.
Dialah yang digelarkan fitrah Allah* yang sudah mengenali dan mengetahui agamaNya dengan tidak payah belajar atau mentelaah kitab di alam aruah yakni ia sudah mengenali segala-galanya sebelum ia dihantar atau dicantum dengan alam kasar (syahadah) ini. Malah ia pernah mengakui dan menyaksi di alam aruah bahawa Tuhan yang Esa itu ialah Allah bagaimana diceritakan dalam Quran dengan firmanNya :
(*Fitrah Allah ialah tabiat semulajadi penerimaan agama dan makrifat pada Allah.)
"Tidakkah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab bahkan."
Dialah juga dijadikan sebab diutuskan rasul-rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingati kembali mengenai perkara-perkara agama yang sudah manusia mengenali di zaman aruah dahulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotor fitrahNya malah hendaklah sentiasa bersih dari awal sampai akhir.
Firman Tuhan :
"Dialah fitrah yang Allah jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat di ubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul."
Adapun orang-orang yang tiada menerima dan tiada mempercayai agama Allah yang disampaikan oleh rasul-rasul di dunia ini maka itulah tandanya mereka sudah mengotor fitrah bersih mereka yang asli dan sudah terpesong dari kebersihannya, dengan sebab itu mereka berhak mendapat gelaran 'kufur' di sisi Allah dan sewajarnya mereka akan kekal di dalam neraka Na'uzubillahimin Zalik.
Dialah juga tidak dijadikan atau dihantarkan ke alam syahadah ini melainkan dengan ada hikmat ubudiyyah iaitu beribadat dan berbakti kepada Allah, Firman Allah :
"Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya beribadat kepada Aku"
Dari huraian-huraian tersebut dapatlah kita mengerti dan faham seksyen-seksyennya :
Siapakah kita?
Dari mana kita datang?
Di mana kita sekarang?
Dan akan kemanakah kita?
PERBEZAAN-PERBEZAAN KALBU, RUH, NAFSU DAN AKAL
Perrkataan atau kalimah-kalimah kalbu, ruh, nafsu dan akal itu tetap berbeza dan tidak serupa pada sebutan dan bentuk tetapi pada hakikatnya adalah satu pada tujuan dan maksudnya. Ikutilah huraian-huraian bagaimana di bawah :
Perkataan Kalbu Ada Dua Pengertian :
Yang Pertama : Kalbu makna pertama ialah kalbu lahir atau yang dikatakan hati kasar iaitu seketul daging besar segempal tangan terletak dalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini berongga dan jadi tempat mengisi dan mengepam darah untuk menjalar ke seluruh urat saraf manusia. Hati ini memang dapat dilihat, dijamah, dan dikerat belah oleh pisau. Ia akan hancur dan busuk berulat bila mati. Hati jenis ini terdapat sama pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tiada nilaian sedikit pun di sisi Allah.
Yang Kedua : Kalbu dengan makna yang kedua ialah hati batin atau hati seni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tak dapat dijamah dengan tangan dan tak dapat dikerat potong oleh pisau, tetapi ia dapat dirasa oleh pengakuan batin sendiri tentang wujudnya, dan iaitu ialah suatu kejadian yang latifah rabbaniyyah atau yang dapat kita bahasakan dengan hati seni kejadian Tuhan yang ruhani. Hati ini yang berhubung rapat dengan kerja-kerja hati kasar tadi. Perhubungan kerja di antara kedua-duanya itu ialah suatu perkara yang tak dapat diterangkan oleh seluruh otak doktor jenis manusia kerana hati batin umpama ini datang dari kejadian alam ghaib, manakala hati kasar adalah dari benda-benda alam kasar ini. Bandingannya boleh diberi begini : Hati batin itu laksana raja pemerintah dan hati kasar itu umpama istana raja tempat ia bertakhta dan anggota-anggota lahir umpama kaki, tangan dan sebagainya laksana rakyat jelata. Ia akan patuh kepada perintah raja, hati jenis ini tidak akan busuk, berulat dan tidak akan hancur buat selama-lamanya bila tubuh relai dari nyawa, dialah yang akan menemui alam akhirat. Dialah yang berasa bahagia dan celaka di dunia atau di akhirat.
Dengan hati latifah rabbaniyyah inilah maka hati kasar (jantung) itu dapat hidup dan berdenyut. Ia mempunyai sifat-sifat ta'aqul dan juga sifat-sifat ma'ani dari sejak ia dijadikan di alam aruah yakni sebelum ia bercantum dengan alam kasar ini. Ahli-ahli falsafah dan tasauf adalah bersependapat dan menanamkan hati jenis ghaib ini yakni ia bukan dari jenis benda, jirim atau aradh bahkan ia atau zatnya dapat berdiri sendiri dan terkaya daripada tubuh badan kasar. Hati dengan makna yang kedua inilah hakikat kejadian manusia yang mempunyai tanggungjawab kepada Tuhan dunia-akhirat.
Perkataan Ruh Ada dua Pengertian :
Yang Pertama : Ruh tabi'i namanya iaitu suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung yang berisi darah hitam. Wap atau gas itu berjalan dengan lancarnya ke seluruh bahagian urat saraf dalam anggota badan manusia. Bandingannya samalah seperti cahaya lampu di dalam sebuah rumah, ia dapat menyampaikan sinaran cahayanya ke seluruh ceruk dalam rumah itu. Ruh macam inilah digelar oleh doktor-doktor dunia hari ini dengan nama istilahnya 'Ruh'. Tetapi penulis lebih cenderung pengertian yang diistilahkan oleh doktor itu dapat dipadankan kepada istilah bahasa melayunya 'nyawa'. Jika logik demikian, maka jadilah istilah pengertian doktor itu adalah sama dengan pengertian 'nyawa' yang ada pada jenis-jenis haiwan yang tidak berakal iaitu wap atau gas yang terjadi dari angin keluar masuk dari udara ke dalam jantung dan paru-paru. Pada hal ruh yang sebenar ialah ruh dari kejadian ghaib bukan dari jenis benda angin atau sebagainya, ruh makna yang pertama ini tidak ternilai sedikit pun di sisi Tuhan.
Yang Kedua : Ruh makna yang kedua ialah satu kejadian dari alam keanehan Tuhan yang dibahasakan kepada latifah rabbaniyyah iaitu serupalah dengan pengertian kalbu pada makna yang kedua tadi. Oleh itu ruh dan kalbu masing-masing dengan pengertian keduanya adalah sama pada hakikat dalam erti yang satu iaitu suatu kejadian Tuhan yang seni dan berupa bagaimana bentuk badan kasar kita masing-masing.
Ruh pengertian yang kedua ini tiada dapat dimengertikan sama sekali oleh seluruh otak manusia dari jenis apakah ia dijadikan? Dan bagaimana dikimia atau diramunkan, Firman Allah :
"Dan mereka lagi akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad. Berkenaan Ruh hendaklah engkau jawab kepada mereka bahawa ruh itu adalah daripada urusan pekerjaan Tuhan"
Perkataan Nafsu Ada dua Pengertian :
Yang Pertama : Nafsu makna yang pertama ialah suatu pengertian yang meliputi segala tabiat-tabiat : marah, nafsu berahi dan syahwat dan termasuk juga sifat-sifat yang keji umpama hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba, ria' dan sebagainya. sifat tersebut sama ada wujudnya pada kejadian binatang dan manusia, sedikit atau banyak tetapi ia tiada sama sekali pada kejadian malaikat. Sabda Rasulullah S.A.W.
"Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau"
maksudnya hati engkau yang berhawa nafsu jahat, dan dengan sebab nafsu inilah datangnya syarak atau agama Allah menuntut setiap orang supaya menyuci dan mengawasinya setiap ketika.
Yang Kedua : Nafsu dengan makna yang kedua ialah suatu kejadian 'latifah rabbaniyyah' bagaimana huraian dalam pengertian yang kedua pada ruh atau kalbu yang demikian tadi, oleh itu kalimah-kalimah : Nafsu, kalbu, dan ruh bolehlah dipakai kepada satu hakikat latifah yang sama pada jenis kejadian manusia dan sangatlah jauh berbeza dengan makhluk-makhluk lain yang umpama binatang.
Tetapi jika *diitlaqkan nafsu itu maka ghalibnya dipakai kepada nafsu yang jahat, nafsu jahat itu apabila digosok dan dicuci dengan sabun-sabun zikir kepada Allah dan diberus dengan tembaga mujahadah dan ikhals kepada Allah serta dipandu dan dipimpin pula oleh guru yang ahli maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat-sfat karut kejahatan nafsu tadi, kemudian menunggu ia ketibaan warid atau nur dari Allah dan kemudian ia akan berpeluang pula mengecap Dzauq atau Syuhud yang kita gelarkan dia dengan hakikat dan makrifat, di waktu itu maka nafsu jahat tadi akan bertukar mendapat gelaran baru iaitu nafsu mutma-innah yakni nafsu yang tenang dan teguh dari mendapat godaan syaitan, dengan itu bererti ia sudah masuk ke dalam darjah permulaan wali kecil wilayah sughra.
(*Diitlaq dipakai secara umum)
Tetapi sebelum sampai kepada maqam nafsu mutma-innah (wali kecil) maka nafsu tadi tak dapat tidak mesti menempuh jalan tiga peringkat :
Yang pertama - Peringkat 'amma-rah' namanya iaitu nafsu yang suka dan pecah liur kepada kejahatan. Nafsu peringkat ini adalah sejahat-jahat dan sehina-hina nafsu dari peringkat-peringkat lain.
Yang kedua - Peringkat 'lawwa-mah' namanya iaitu nafsu yang kerapkali mengkritik diri sendiri apabila ia terjatuh ke dalam lembah angkara dosa, dan cepat-cepat ia bertaubat dan meminta ampun kepada Allah serta menyesal, nafsu ini tinggi sedikit daripada peringkat pertama.
Yang ketiga - Peringkat 'mulhamah' namanya iaitu nafsu yang telah bersih dari segala kekotoran hati peringkat pertama dan yang kedua tadi, oleh itu ia selalu dapat ilham-ilham yang berguna dan luarbiasa. Nafsu ini memang lebih tinggi daripada nafsu peringkat kedua.
Perkataan Akal Juga Ada Dua Pengertian :
Yang Pertama - Akal dengan makna pertama ini ialah akal dengan tabiatnya dapat memikir dan mengetahui segala hakikat sesuatu
Yang Kedua - Akal dengan makna yang kedua ini ialah akal yang alim dengan ilmunya dan ilmunya adalah sebagai sifat bagi akal. Pengertian yang seumpama ini adalah sama dengan pengertian 'latifah rabbaniyyah' bagaimana telah dihurai dahulu itu kerana tidak mungkin apa yang dimaksudkan dengan akal itu melainkan dengan pengertian yang kedua pada perkataan kalbu dan ruh itu jua.
Sabda Rasulullah S.A.W.
"Awal-awal benda dijadikan oleh Allah Taala ialah akal, kemudian berkata Allah kepada akal : berhadap olehmu. Maka berhadap ia, kemudian berkata Allah kepadanya : Pergi olehmu maka jauh ia".
Jadi dengan huraian-huraian yang lepas, jelas kepada kita bahawa apa yang dimaksudkan dengan kalimah-kalimah kalbu, ruh, akal dan nafsu yang berlainan sebutan bagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis dan ayat-ayat Quran itu adalah satu erti jua pada hakikatnya iaitu 'latifah rabbaniyyah' yang dibahasakan kepada ruhani. Cuma yang berlainannya ialah bentuk dan sebutan kalimah-kalimah jua kerana mengikut pandangan dan iktibar dari segi-segi perkembangan jua : iaitu apabila ia kekal di dalam zulmah syahwat nafsu dan maksiat maka pada ketika itu dinamakan 'nafsu'. apabila ia berasa gerun dan takut hendak melakukan maksiat dengan sebab terfikir bahawa perbuatan umpamanya itu suatu perkara yang dibenci Allah dan masyarakat maka diwaktu itu ia dinamakan 'akal'. Apabila ia tenang di bawah peraturan cahaya taat tetapi perasaannya sentiasa berbalik-balik, dan apabila ia tenang dan tetap jelira dengan Allah serta dibukakan mata ruhnya basirah dan disyuhudkan nur aslinya maka ketika itu ia dinamakan 'ruh'.
Di sana terdapat pula 'sirr' namanya iaitu apabila ia (nafsu) sudah bersih dari tarikan tabiat jahat hingga terjadi ia sebagai rahsia dan sirr semata-mata maka di waktu itu dinamakan 'sirr'. Tetapi semua nama-nama istilah itu tak lari daripada satu hakikat jua iaitu latifah rabbaniyyah namanya.
Inilah dia latifah rabbaniyyah satu daripada rahsia-rahsia yang datang dari alam ghaib Allah S.W.T. Firman Allah :
"Katakanlah wahai Muhammad, ruh itu satu daripada urusan rahsia-rahsia alam Tuhan yang ghaib"
Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif
Inilah khasiat fadhilat Doa Haikal yakni 7 doa drp no. 1 sampai no. 7 & sampai "Qul a'uuzubirabbinnaas" bahawasanya adalah diriwayatkan oleh Nabi kita Muhammad SAW pd suatu hari sedang Nabi kita SAW duduk di dalam Masjid Madinah maka Jibrail AS pun datang membawa firman ujarnya, "Ya Rasulullah SAW salam Allah SWT pd tuan hamba & firmannya, 'Hai kekasihku adapun doa ini yakni 7 doa ini dihantarkan Tuhan pd tuan hamba maka barangsiapa tiada percaya akan doa ini kafirlah ia & barangsiapa membaca dia atau menyimpan dia maka Allah SWT melepaskan dia & ibubapanya drpd api neraka ya Muhammad barangsiapa menaruh doa ini di dlm rumahnya maka tiada boleh masuk jin & syaitan ke dlm rumahnya itu ya Muhammad barangsiapa suratkan doa ini & dipakai diperbuat tangkal nescaya terlepaslah ia drpd azab sengsara & wabak & duduk itu dlm aman & lagi barangsiapa menaruh doa ini sentiasalah ia dihormati orang & termulialah ia pd orang banyak &
Comments