Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca
Surah al-Fatihah, tetapi untuk meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan
membolehkan seorang pesakit, seperti sakit terkena gigit kala jengking ataupun
lipan boleh sembuh, sering dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima. Malah kita sendiri mungkin tidak yakin bahawa
usaha seperti ini boleh berjaya. Tetapi,
kesembuhan seperti ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa, tidak digagahi oleh sesuatu,
apabila Ia menghendaki sesuatu, Ia berkata: jadilah maka jadilah (Surah
Yasin: 82).
Doa yang makbul
Allah s.w.t. menyuruh
setiap hambaNya agar berdoa, memohon kepadaNya, dan Allah s.w.t. akan
memperkenankannya, sama ada diberi dengan cepat, lambat, diberi ketika
seseorang itu hidup di dunia ataupun di akhirat kelak. Jelas di sini bahawa
bukan sesuatu yang mustahil doa-doa yang dibaca oleh seseorang itu boleh
menyebabkan sakit yang dideritai oleh seseorang itu sembuh dengan izin Allah,
biar betapa berat derita yang dialami atau betapa besar masalah yang ditanggung
oleh seseorang.
Doa-doa yang dibaca hakikatnya bukan merupakan
faktor utama kesembuhan. Dua orang yang cuba merawat pesakit dengan menggunakan
bacaan Surah alFatihah, ataupun lain-lain doa, tidak semestinya melahirkan
natijah yang sama.
Mungkin salah seorang daripada pesakit akan sembuh,
ataupun semakin teruk, padahal doa yang dibaca adalah sama. Hal demikian membuktikan bahawa doa-doa yang
dituturkan hanya merupakan salah satu usaha rawatan, ataupun usaha untuk
memperoleh kesembuhan. Kesembuhan yang
sebenar ialah kemakbulan daripada Allah
s.w.t. iaitu apabila doa-doa yang dibaca itu dikabulkan.
Kemakbulan ataupun kemustajaban doa yang dibaca pula
berkait rapat dengan taraf ataupun kualiti diri seseorang di sisi Allah. Semakin hampir seseorang itu kepada Allah,
maka semakin mudahlan doa-doa yang dipohon itu dikabulkan. Orang yang hampir
kepada Allah ialah mereka yang bersifat
warak, zuhud dan taqwa. Apabila seseorang hamba itu hampir kepada Allah, maka Allah akan mengasihinya.
Orang-orang yang dikasihi Allah ialah mereka yang
melakukan amalan-amalan yang difardukan, juga amalan sunat secara terus
menerus. Allah akan memberi kekuatan dan memperkenankan doa-doa andainya ia
memohon, dan melindunginya apabila
ia berbuat demikian.
Comments