Kalimah
Tauhid Anak Kunci Syurga:
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah,
kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah
tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada
yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah
(Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara,
sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru
yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti
menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke
neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada
sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”
Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
buat semua pengunjung yang setia di sini. Kalimah tauhid iaitu kalimah ‘Laa
Ilaaha Illallah’ kadang-kadang disebut juga dengan istilah Kalimah Ikhlas
ataupun Kalimah suci. Pembahasan tentang rukun dan syarat kalimah mulia ini
dapatlah dikategorikan ke dalam perbahasan yang sangat mustahak dan wajib
dimaklumi oleh setiap muslim. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa
mengetahui rukun syarat kalimah tauhid adalah lebih utama daripada mengetahui
rukun-rukun Islam yang lain. Secara amnya Rukun Kalimah Tauhid terbahagi kepada
dua : Nafi. Iaitu menafikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah. Kalimah
tersebut adalah “Laa Ilaaha”. Ithbat. Iaitu menetapkan bahawa hanya Allah yang
berhak disembah. Dan kalimahnya pula adalah “Illallah”. Kalimah tauhid ini
datangnya dalam bentuk nafi dan ithbat kerana bentuk demikian adalah lebih
murni natijahnya jika dibandingkan dengan hanya ithbat. Kalaulah kalimah tauhid
datangnya hanya dalam bentuk ithbat, seperti : “Tuhan adalah Allah” Maka
kalimah tersebut hanya menetapkan bahawa Tuhannya adalah Allah tetapi kalimah
tersebut tidak menolak kemungkinan bahawa ia juga mempunyai Tuhan selain
daripada Allah Ta’ala. Sebagai renungan, perhatikan pula kata-kata ini : “Saya
Makan Nasi”. Dalam ayat ringkas tersebut ia hanya mengithbatkan (menetapkan)
bahawa ia makan nasi tetapi kalimah tersebut tidak menolak kemungkinan ia juga
makan makanan yang lain bersama nasi seperti lauk-pauk, sayur-sayuran dan
buah-buahan. Dan ini berbeza jika ia mengatakan : “Saya Tidak Makan Apapun
Kecuali Nasi”. Ayat ini pula memberi gambaran bahawa ia memang makan nasi dan
saat yang sama ayat tersebut juga menafikan kemungkinan bahawa ia makan sesuatu
selain daripada nasi. Demikianlah perbezaannya jika kita menggunakan Nafi dan
Ithbat untuk kalimah tauhid. Kalimah tersebut bukan hanya berperanan menetapkan
bahawa hanya Allah sebagai Tuhan, tetapi pada masa yang sama juga menolak
segala jenis tuhan-tuhan yang lain. Saya akan cuba huraikan dan kongsikan pula
berkenaan dengan ‘Syarat Kalimah Tauhid’ sebagai perbincangan kita seterusnya.
Diharapkan agar pembaca di luar sana dapat memahaminya dan berfikiran ikhlas
serta terbuka setiap apa yang saya kongsi dan huraikan ini sebagai wadah ilmu
yang bermanfaat untuk diri saya dan anda yang berada di luar sana. Insya’Allah.
Syarat Kalimah Tauhid. Terdapat ramai di kalangan kita yang keliru dalam
memahami tentang Hadith Nabi SAW yang bermaksud : “Barang siapa yang berkata :
Laa Ilaaha Illallah, dia akan masuk syurga” Benarkah sedemikian? Ramai
berpendapat bahawa dengan hanya mengucapkan kalimah tauhid maka mereka terjamin
akan masuk syurga. Padahal sebenarnya ia tidaklah sedemikian. Saya ulangi
sekali lagi ia tidaklah sedemikian. Sesungguhnya bagi mereka yang mempunyai
sangkaan sedemikian telah terpedaya dan tidak memahami kehendak kalimah tersebut.
Makna kalimah tauhid yang sebenarnya ialah membebaskan diri daripada segala
bentuk penyembahan dan berikrar menunpukan segala jenis ibadah hanya kepada
Allah Yang Maha Esa serta melaksanakannya sesuai dengan apa yang disukai dan
diredhai oleh-Nya. Oleh sebab itu sesiapa yang tidak mematuhi ketentuan di
atas, seperti orang yang beribadah kepada Allah tetapi masih juga memohon
kepada wali-wali atau orang-orang salih dalam doa atau nazarnya malahan ada
yang sanggup meminta pertolongan dari Iblis dan Syaitan Laknatullah, maka
perbuatannya itu akan merosakkan kalimah tauhid yang diucapkannya dan kalimah
tersebut tidak akan dapat membantunya di akhirat kelak. Bagi meraka yang selain
beribadah kepada Allah tetapi masih beribadah kepada selain-Nya seperti yang telah
saya nyatakan seperti di atas, kerana jahil atau tidak faham akan makna kalimah
tersebut ataupun kerana dusta di dalam imannya (Nifaq). Maka hendaklah
bertaubat dan kembali kepada ajaran Tauhid yang sebenar-benarnya. Manakala
sejarah telah membuktikan akan hakikat tersebut, seperti apa yang berlaku pada
Abi Thalib yang enggan mengucapkan kalimah tauhid hingga akhir hayatnya kerana
beliau memahami akan makna kalimah itu. Ini kerana apabila beliau
mengucapkannya bermakna beliau mesti meninggalkan semua berhala dan hanya
menyembah Allah Yang Maha Esa. Dan inilah juga yang berkemungkinan memberatkan
beliau untuk melafaz dan memperakui kalimah tersebut. Ada sesetengah Ulama’
berpendapat pula berbeza-beza pandangan mengenai kematian beliau (Abi Thalib)
tetapi hujahnya tidak kurang hebat juga. Untuk mengetahui akan pekara ini mari
kita sama-sama lihat Firman Allah SWT dalam Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Dari Said bin Musayyab r.a dari bapanya, katanya : “ketika Abi Thalib hampir
meninggal dunia, Rasulullah SAW datang mengunjunginya. Didapati beliau di sana
telah berada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Mughirah. Sabda
Rasulullah SAW : “Wahai Pakcik! Ucapkan Laa Illaha Illallah iaitu sebuah
kalimah yang aku akan menjadi saksi bagi pakcik nanti di hadapan Allah.” Kerana
itu itu Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berkata : “Hai Abu Thalib!
Bencikah anda kepada agama ‘Abdul Muthalib?” Rasulullah terus sahaja mengajar
dan mengulang-ulang ucapannya itu, tetapi akhirnya Abi Thalib mengatakan kepada
mereka bahawa dia tetap memeluk agama ‘Abdul Muthalib’ dan enggan mengucapkan
‘Laa Illaha Illallah’. Sabda Rasulullah SAW : Demi Allah! Akan kumohon ampun
bagi pakcik selama aku tidak dilarang melakukannya.” Lalu Allah Azza Wa Jalla
menurunkan ayat : “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman,
meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat
sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli
neraka.” (Surah at-Taubah : Ayat 113) Kemudian Allah Azza Wa Jalla menurunkan
pula ayat yang sama berlakunya dengan peristiwa Abi Thalib. Firman Allah kepada
Rasulullah SAW : “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam),
tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah
petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah Al-Qasas : Ayat 56).” (Hadith Sahih
Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 22). Maka perlu diketahui bahawa di Makkah
pada ketika itu tidak ada orang munafik kerana musyrikin berada di pihak yang
kuat. Mereka tidak merasa perlu untuk berpura-pura kepada orang Islam. Hal ini
berbeza dengan keadaan di Madinah. Setelah umat Islam menjadi kuat dan golongan
lain hanya merupakan puak minoriti maka timbullah golongan yang berpura-pura
mengakui Islam tetapi jiwa mereka menentang malahan menunggu masa yang baik
untuk memusnahkan Islam. Maka secara tidak langsung ketika itu seperti Abdullah
Bin Ubay Bin Salul (Ketua orang-orang munafik di Madinah) dan lain-lain telah
merancang sesuatu untuk menjatuhkan Nabi SAW dan seterusnya menghancurkan Islam
secara gerakkan sulit dari dalam Madinah. Saya juga tertarik dengan sebuah
Hadith yang menguatkan lagi hujah tersebut yang bermaksud : “Dari Abu Hurairah
r.a katanya : “Setelah Rasulullah SAW wafat dan Abu Bakar r.a telah diangkat
menjadi khalifah (penganti), sebahagian bangsa Arab kafir kembali (murtad).
Umar bin Khathab r.a berkata kepada Abu Bakar r.a : “Kenapa anda hendak perangi
orang-orang itu, padahal Rasulullah SAW telah bersabda : Aku perintahkan
memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah’. Kerana itu
siapa yang telah mengucap ‘Laa Ilaaha Illallah’ harus dilindungi harta dan
jiwanya, kecuali apabila dia melanggar hukum dan perhitungannya terserah pada
Allah...” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 18). Oleh yang demikian
saya cuba huraikan serba sedikit mengenai syarat-syarat yang diperlukan agar
kalimah tauhid yang kita semua ucapkan itu berperanan sebagai apa yang
dikatakan “Kunci Pembuka Syurga”. Ilmu. Apa ayng dimaksudkan dengan ilmu di
sini adalah ilmu tentang rukun-rukun kalimah tauhid iaitu ilmu berkaitan
tentang Nafi dan Ithbat. Kerangka ilmu sangat diperlukan untuk kesempurnaan
segala sesuatu lebih-lebih lagi berkenaan dengan aqidah. Firman Allah SWT yang
bermaksud : “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai
Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,
dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi
dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah
mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu
(di akhirat).” (Surah Muhammad : Ayat 19). Dan lagi Firman Allah SWT yang
bermaksud : “Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak
mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa
yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan
Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan
kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat
syafaat itu).” (Surah Az-Zukhruf : Ayat 86). Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud : “Dari Usman r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa mati
dalam keadaan dia yakin (berilmu) bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, maka dia
masuk syurga.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h : Hadith No. 24). Dari
nas-nas seperti yang telah saya nyatakan di atas, nyata bahawa ilmu tentang
kalimah tauhid tersebut baik Nafi atau Ithbatnya adalah menjadi syarat agar
kalimah itu berguna bagi orang yang mengucapkannya. Ingatlah kita semua! Lawan
Ilmu adalah jahil. Oleh sebab itu berdasarkan hadith di atas jelaslah bahawa
barang siapa yang jahil terhadap kehendak kalimah tauhid yang diucapkannya maka
kalimah tersebut tidak akan memberi manfaat kepadanya di akhirat kelak. Atau
dengan perkataan lain kalimah tersebut tidak menjamin baginya untuk memasuki
syurga Allah Ta’ala. Yakin. Jika kita semua mengkaji serta melihat, faktor ilmu
masih belum mencukup kalau tidak diikuti oleh yakin kerana unsur yakin sangat
penting di dalam aqidah. Lawan yakin ialah syak (ragu). Maksudnya hati kita
mestilah penuh yakin dan tidak bercampur dengan syak sedikitpun terhadap
kandungan kalimah tauhid tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang
yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan)
tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka
pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
(Surah Al-Hujurat : Ayat 15). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Dari
Sufyan bin Abdullah Ats Tsaqafi r.a katanya dia berkata kepada Rasulullah SAW :
“Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku suatu perkataan yang aku tidak perlu lagi bertanya
kepada orang lain.” Jawab Nabi SAW : “Ucapkanlah : ‘Aku Iman (yakin) dengan
Allah’. Kemudian teguhkan pendirianmu itu!” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim
r.h : Hadith No. 31).
Wallahu a'lam.
Comments