Martabat Tujuh - Muhammad ‘Uthman
El Muhammady
نحمده ونصلى على رسوله الكريم
Nota ini, insya’ Allah, akan membicarakan dengan
ringkas, setakat memadai, tajuk ‘Martabat Tujuh” sebagaimana yang terkenal
dalam teks-teks Melayu-Jawi, dan dalam kalangan ahli persuratan dan ulama di
Dunia Melayu, dan mengaitkannya pula dengan unsur-unsur yang ada dalam
setengah penulisan tasauf yang ada dalam kalangan Ahlis-Sunnah
wa’l-Jama’ah, dengen menyebut ciri-ciri dan dasar-dasarnya. Kemudian akan
dibicarakan kedudukannya dalam konteks fahaman ilmu atau epistemologi
Ahlis-Sunnah, adakah ia mempunyai ‘tempat’ yang memang sesuai baginya, yang
perlu dibicarakan oleh mereka yang tertentu yang mempunyai persiapan-persiapan
tertentu, ataupun, sebaliknya, ia sesuatu yang perlu dilupakan dan ditiadakan
dalam wanaca keagamaan Dunia Melayu yang berpegang kepada Ahlis-Sunnah
wal-Jama’ah semenjak dahulu sehingga sekarang, walaupun ada usaha untuk
‘menyemak’nya oleh setengah kalangan. Dahulunya tajuk ini dibicarakan oleh
kalangan mereka yang dikirakan ‘ahli’ sebenarnya; tetapi sekarang isu ini sudah
‘keluar’ daripada ‘tempat’nya, dan dibicarakan oleh ‘semua’ pihak. Oleh
itu timbullah keperluan untuk membicarakannya.Penulis ini yang tidak memandang
dirinya ahli dalam bidang ini, tetapi yang bergantung kepada para ulama yang
muktabar dan hasil-hasil para penyelidik bidangnya, mengharapkan perbincangan
ini berlaku dalam keadaan ‘fikiran yang dingin’ dan sejahtera, demi
untuk mencapai sesuatu yang jernih dan menyelamatkan, tanpa melanggar
adab-adab yang dikehendaki terhadap ilmu dan para ulama, Allah memberi rahmat
kepada mereka.Amin. “Input-input” yang berguna amat dialu-alukan untuk
menyempurnakan perbincangan bersama.
Tasauf Di Dunia Melayu
Imam al-Ghazali rd dalam kitab Ihya’
‘Ulumi’d-Din yang terkenal itu membahagikan tasauf kepada dua
bahagian, iaitu tasawwuf mu’amalah dan tasauf mukasyafah.
(1), yang mu’amalah ialah berkenaan dengan isu-isu
seperti bersuci, beribadat, sifat-sifat yang buruk yang perlu dihilangkan
daripada diri dan sifat-sifat yang baik yang perlu dijadikan perhiasan diri.
Demikian pula di dalamnya termasuk soal-soal kehidupan seperti nikah-kahwin,
usaha mencari rezeki yang halal, kehidupan berjiran, dan persoalan-persoalan
yang sedemikian.
Perkara-perkara yang dimasukkan ke dalam bidang
‘mukasyafah’ ialah perkara-perkara yang menyentuh hakikat-hakikat tentang roh
dan jiwa, hakikat ketuhanan, hubungan Tuhan dengan alam, hal-ahal alam yang
kekal abadi yang selain daripada fardu ‘ain dalam pembicaraan.Maka boleh
dikatakan bahawa pembicaraan tentang ‘Martabat Tujuh’ ini adalah termasuk ke dalam
bahagian atau bidang yang disebut ‘mukasyafah’ itul,
Dalam hubungan dengan perkembangan Islam di Dunia
Melayu, nampaknya dalam beberapa abad awal perkembangan itu situasinya
berkebetulan dengan masa perkembangan tasawuf dan tarikat-tarikat
dalam erti yang biasa dimengerti. Ini adalah selain daripada hakikat bagaimana
amalan-amalan rohaniah itu memang sudah ada pada zaman awal lagi, dan
berkembang dengan baiknya, sebagaimana yang disebutkan oleh ibn
Khaldun dalam al-Muqaddimahnya dan juga oleh ulama sufi dalam
teks-teks mereka yang terkenal seperti Risalah al-Qushairiyyah dan Kashf
al-Mahjub antara yang sekian banyaknya itu. Imam al-Ghazali rd menulis
kitab berkenaan dengan tasawwuf yang menyentuh soal-soal akhlak dan pembentukan
rohani secara ‘moderat’ mengikut setengah pihak, bagaimanapun ia menulis pula teks-teks
seperti Mishkat al-Anwar misalnya, danTahafut al-Falasifah serta
juga al-Maqsad al-Asna yang menghuraikan makna-makna yang
sangat dalam tentang Nama-Nama tuhan.Beliau meninggal dalam tahun 1111 ,
dan ibn ‘Arabi rd yang banyak mempengaruhi para sufi kemudian, dengan al-Futuhat
al-Makkiyyahnya dan Fusus al-Hikamnya meninggal tahun 1240;
manakala Shaikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani rd meninggal dalam 1166, dan Shaikh
Abul-Hasan al-Shadhili rd meninggal dalam tahun 1258. Dan Islam
yang berkembang di Dunia Melayu nampaknya banyak menunjukkan pengaruh tasauf
dan amalannya. Dengan itu nampaknya tasauf merupakan sesuatu unsur yang sangat
penting dalam perkembangan Islam di rantau ini.
(2)Nampaknya sebutan tentang “Martabat Tujuh” ini
dikaitkan dengan nama Hamzah Fansuri dan muridnya Syamsuddin al-Sumatrani
atau Syamduddin Pasai, serta juga ‘Abdur-Rauf Singkel yang hidup yang bergiat
di Acheh dalam abad ke 16 dan ke 17.
(3) Hamzah Fansuri mengeluarkan fahamannya dan
pengelamannya melalui tulisan prosa dan puisi, dan ia muncul sebagai ahli puisi
sufi yang teragung di rantau ini. Dalam karangan-karangannya ia mengeluarkan
kata-kata yang menyatakan tentang ‘keesaan yang wujud’
(‘wahdiatul-wujud’) yang terkait dengan nama ibn ‘Arabi rd yang terkenal itu. Nampaknya
ia mengamalkan tarikat Qadiriyyah dan mungkin juga ia ‘khalifah’ tarikat yang
berkenaan.
Pengarang yang terkenal seorang lagi di Acheh ialah
Shamsuddin Pasai (men.1630) yang mengarang dalam Bahasa Arab dan Bahasa
Melayu; beliau tidak muncul sebagai penggubah puisi tetapi tulisannya lebih
sistematik, dan memberi huraian tentang ajaran metafisika yang sama dengan
gurunya tentang ‘keesaan yang wujud’. Pada van Bruinessen nampaknya beliau
pengarang yang pertama dalam Dunia Melayu memberi huraian berkenaan dengan
martabat tujuh ini , yang merupakan adaptasi daripada teori ibn ‘Arabi tentang
emanasi atau ‘faid’ dari Tuhan yang popular di rantau ini.
(4) Dalam hubungan dengan ini mungkin beliau
mengikuti contoh pengarang Gujerat Muhammad b.Fadl Allah al-Burhanpuri yang
menghuraikan doktrin yang sama dalam Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi ,
yang siap digubahnya pada 1590, dan kemudian menjadi popular di kalangan
Muslimin Dunia melayu.
(5)Mungkin beliau mengenali kitab ini di Acheh, atau
di Makkah, atau di India. Burhanpuri beramal dengan tarikat Shattariyyah,
dan selepas meninggal Shamsul-Din tarikat itu menjadi popular dari kalangan
mereka yang pulang daripada menunaikan haji.
Mungkin boleh ditambah beberapa maklumat berkenaan
dengan teks-teks karangan Syams al-Din Pasai ini.Antaranya ialah: Jawhar
al-Haqa’iq (30 halaman dalam Bahasa Arab), karyanya yang paling
lengkap, disunting oleh Van Nieuwenhuijze, yang membicarakan martabat tujuh dan
jalan mendampingi diri sengan Tuhan; kitab Risalah Tubayyin
Mulahazat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dhikr Allah (berbahasa
Arab), lapan halaman, diolah oleh Van Nieuwenhuijze, mengandungi huraian
tentang perbezaan antara kaum yang berpegang kepada tauhid yang benar dan kaum
yang mulhid; kitab Mir’at al-Mu’min (70 halaman) dalam
Bahasa Melayu, menjelaskan keimanan kepada Allah, RasulNya, kitab-kitabNya,
para malaikatNya, akhirat, qada’Nya, dalam akidah Ahlis-Sunnah wa
al-Jama’ah (mengikut Imam Asy’ari dan Maturidi rd). Kitab Sharah Ruba’I
Hamzah Fansuri, 24 halaman berbahasa Melayu, menjelaskan pengertian
wihdatul-wujud. Kitab Syarah Sya’ir Ikan Tongkol (20 halaman,
dalam Bahasa Melayu),ulasan 48 baris syair Hamzah Fansuri yang mengupas nur
Muhammad dan cara mencapai fana’ fi’Llah. Kitab Nur al-Daqa’iq (dalam
9 halaman, berbahasa Melayu, ditranskripsi oleh A.H. Johns (1953) huraian
tentang rahsia ma’rifat , dalam martabat tujuh. Kitab Tariq al-Salikin (18
halaman, berbahasa Melayu), menjelaskan istilah-istilah seperti wujud, ‘adam,
haqq, batil, wajib, mumkin, mumtani’, dan yang sepertinya. Kitab Mir’at
al-Iman atau Bahr al-Nur,12 halaman, berbahasa Melayu,
membicarakan ma’rifah, roh, dan martabat tujuh.Kitab al-Harakah , 4
halaman, ada yang berbahasa Arab dan ada yang berbahasa Melayu, membicarakan
ma’rifah atau martabat tujuh.
(6) Kemudian ulama yang terkenal yang menentang
Shamsu’l-Din Pasai dan Hamzah Fansuri ialah Nuru’l-Din al-Raniri rh, dan
mungkin akibat penentangannya yang teruk, ia terpaksa meninggalkan bumi Acheh.
Shaikh Nurul-Din menuduh ajaran Hamzah Fansuri sebagai ‘panteisme’ dan
membandingkannya dengan falsafah Vedanta Hindu dan ajaran Buddha Mahayana
di Tibet.
(7) Seorang ulama basar Acheh ialah ‘Abdul-Ra’uf
Singkel rh (1615?-93) .Beliau berada di Mekah dan Madinah selama 19
tahun kemudian kembali ke Dunia Melayu.Nampaknya para penduduk ranrau ini
sangat ramai menunaikan haji berbanding dengan para penduduk rantau lain walaupun
jarak mereka dengan Mekah adalah jauh. Dan dengan adanya masyarakat mereka di
sana yang kuat perpaduannya, maka pengaruh ulama Mekah besar di rantau ini.
Antara ulama di sana yang berpengaruh di rantaum ini ialah Ahmad al-Qushashi
rh, Ibrahim al-Kurani rh, dan anak Ibrahim bernama Muhammad Tahir yang berada
di Madinah.
Pada pendapat van Bruinessen
(8) Qushashi (men.1660) dan Kurani (men.1691)
merupakan sintesis tradisi India dan Mesir yang berupa warisan kesarjanaan fikh
dan tasawwuf Zakaria al-Ansari rh dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha’rani rh di
satu pihak dan perlibatan dengan pengambilan bai’ah dalam
tarikat-tarikat dari India terutamanya Shattariyyah dan
Naqswhabandiah di satu pihak lainnya. Katanya tarikat-tarikat ini diperkenalkan
oleh Shaikh Sibghatullah yang menetap di Madinah dalam tahun
1605.Kurani pula , yang ia adalah seorang bangsa Kurdi, mempunyai kemahiran
dalam sastera berbahasa Parsi dari India, danj selain daripada kepakarannya
dalam hadith beliau mempunyai minat yang mendalam tentang metafisika. Dalam
menghadapi kontroversi-kontroversi, maka ulama India berpaling kepadanya untuk
mendapat bimbingan. Demikian pula orang-orang Dunia Melayu. Kerana permintaan
mereka maka ditulisnya syarah terhadap kitab Tuhfah al-Mursalah mengikut
cara fahaman Ahlis-Sunnah wa al-jamaah.
(9)Beberapa generasi lamanya orang-orang Dunia Melayu
mempelajari ilmu agama di Semenanjung Arab dengan ulama yang datang selepas
daripada Kurani, dan mereka menuntut bai’ah dalam tarikat Shattariyyah,
kadang-kadang dengan kombinasi tarikat-tarikat lainnya. Maka melalui tarikat
Syattariyyahlah idea-idea metafisika sufi dan pembahagian-pembahagian
atau klasifikasi berdasarkan ajaran martabat tujuh menjadi sebahagian
daripada kepercayaan Orangt-Orang Jawa yang popular.
Hampir-hampir seabad kemudian Orang-Orang Dunia Melayu
di negeri Arab sangat tertarik kepada Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim
al-Samman rh (men.1775) di Madinah, yang sangat dipercayai
mempunyai keberkatan yang sangat besar, bertugas sebagai penjaga makam Nabi
salla’llahu ‘alaihi wa sallam dan mengarang beberapa buah kitab tentang
metafisika sufi; beliau berpengaruh kerana ia pengasas tarikat
Sammaniyyah; banyak kisah-kisah ‘manakib’ yang menunjukkan kekeramatannya, yang
tersebar di Dunia Melayu.
Murid Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman yang
terkenal sekali di Dunia Melayu ialah Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani rh yang
menulis beberapa buah kitab, antara yang terkenalnya ialah Siyar
al-Salikin ‘ila ‘ibadati Rabbil-’Alamin yang berdasarkan kepada isi
kandungan Ihya’ Imam al-Ghazali rd. Selepas meninggalnya
Syaikh Samman rh ia digantikan oleh khalifahnya Siddiq bin ‘Umar Khan. Maka
tersebarlah tarikat itu dengan meluasnya.
Kitab-kitab yang ada mempunyai huraian-huraian tentang
metafisika ini disebutkan oleh Syaikh ‘Abd al-Samad palembang rh dalam teksnya Sayr
al-Salikin dalam jilid 3.Antaranya ialah teks-teks karangan ibn ‘Arabi
rd seperti Futuhat al-Makkiyyah dan Fusus al-Hikamnya
yang disebutkannya sebagai teks untuk orangt-orang muntahi atau yang
berada pada tahap penghabisan dalam perjalanan rohani.
Al-Manhalu’s-Safi[ fi Bayani Rumuzi
Ahli's-sufi]:
Antara teks-teks tentang metafisika sufi yang boleh
disebutkan secara tepat sebagai beraliran ‘martabat tujuh’ ialah Kitab
al-Manhali’s-Safi yang kuat dikatakan ia karangan Syaikh Daud
al-Fatani rh.Antara ulama yang mengajar kitab itu kepada mereka yang dikirakan
sesuai untuk mendengarnya ialah alm haji ‘Abd al-Rahman di Wakaf Baru,
Kelantan. Saya sendiri pernah beberapa kali bercakap dengannya.Allahumma
yarhamuh. Beliau mengajar kitab Hikam [yang dinisbahkan kepada To'
Pulau Manis] dan juga al-Manhalus-Safi dan beliau
menerangkannya mengikut apa yang diterimanya daripada To’ Syafi’ Kedah rh.Oleh
kerana teks ini masih senang didapati sekarang dan ada tersesbar dalam
masyarakat maka saya gunakan teks ini untuk perbincangan ini. Yang menarik
laginya ialah teks ini ada nota-nota pada tepi beberapa halaman yang
menunjukkan bahawa ia telah dijadikan teks untuk pengajian.
Isi kandungan maklumat tentang martabat tujuh
dalam teks ini ialah seperti berikut (berdasarkan kepada MS yang ada pada
saya, kerana yang tercetaknya tidak ada pada aya sekarang).Dalam naskah yang
ada pada ayahanda Syaikh Ahmad al-Fatani sebagaimana yang diberitahu oleh rakan
kita Wan Mohd Shaghir Abdullah, melalui saudara Zaidi Mohd Hasan, Allah
membalas kebaikan kepada mereka, amin, karangan itu ialah memang karangan
Syaikh Daud al-Fatani rh.MS yang ada pada saya ini bertarikh 1302 H. tertulis
oleh Syihab al-Din bin Ismail syin ya (?), di tulis namanya dengan huruf
berasing-asingan tidak disambungnya, di Makkah al-Mukarramah.Ia terdiri daripada
15 folio.
Pada folio 1 katakanlah 1B selepas mukadimah dengan
basmalah, hamdalah, dan salawat, katanya…”bahawasanya adalah bagi segala kaum
penghulu ahli al-saufi itu beberapa istilah mereka itu yang tiada mengetahui
akan dia melainkan ahlinya.Maka tiada harus [bagi] yan g bukan ahlinya itu
mentelaahkan segala kitab mereka itu kerana yang tiada mengetahui akan
kehendaknya diambilnya atas zahir perkataan mereka itu maka membawa’
kepada kufur; sebab itulah diharamkan metala’ah segala kitab mereka itu [mereka]
yang bukan ahlinya, seperti kata Syaikh Muhyi’l-Din ibn al-’Arabi
radiya’Llahu ‘anhu, nahnu qaumun tahrim mutala’ati kutubina
…ertinya bahawasanya adalah kami sduatu kaum yang haram mentala’ahkan segala
kitab kami’ yakni apabila tiada tahu akan segala istilah mereka itu.
Katanya:
Maka sayugianya jangan kita memudah-mudahkan
segala perkataan mereka itu dengan ilham Tuhan mereka itu.Maka kebanyakan
segala kitab mereka itu dengan mutasyabihat tiada dapat bagi segala orang yang
ahli al-zahir mengambil dengan zahir katanya [yang pada zahirnya itu]
menyalahi syariat dan hakikatnya sekali-kali tiada menyalahi batin syariat ;
maka wajib atas murid apabila yang tiada tahu akan kehendak mereka itu ia
menyerahkan segala perkataan mereka itu kepadanya, jangan ia
meng(ing)karkandia dan jangan menyalahkan dia sepertim kata Syaikh
Abul-Hasan al-Syadhili (rd);
التصديق فى علمنا ولاية صغرى
Maka bermula orangn yang membenarkan pada ilmu kami
ini wali kecil
Katanya
Maka setengah daripada istilah mereka itu ‘huruf
aliyat’ yang lagi akan datang kenyataannya dua bait syair karangan Syaikh Muhyi
al-Din ibn al-’Arabi, dan demikian lagi seperti kata tilmidh (atau murid)nya
dan khalifahnya Sadr al-Din [al-Qonyawi] Buni, ‘wa ra’al-haqq
mir’ah’ yura’ yang lagi akan datang kenyataannya beberapa banyak.Maka
apabila engkau ketahui akan perkataan segala ahli saufi dengan isyarat jua,
maka ta’ dapat tiada daripada kita ketahui akian isyaratnya.Maka
sekaranglah hamba nyatakan:
Ketahui olehmu bahawasanya adalah bagi Hak Subhanahu wa
Ta’ala itu beberapa martabat [pada sisi pandangan rohaniah dalam kesedaran para
'arifin, bukan pada falsafah yang ditanggapi dengan lamunan otak atau
minda-ujem] pertama Ahadiah, maka (1B)
Ahadiah
Iaitu martabah ‘la ta’ayyun’, iaitu ‘kunhi zat’ [iaitu
semata-mata Zat Allah ta'ala tiada lainnya], kedua ‘wahdah’ [di]namakan
dia ‘ta’ayyun awwal’ yaitu ibarat daripada ta’luk IlmuNya
akan ZatNya dan akan sifatNya dan akan segala yang maujudat atas jalan ijmal,
maka dinama akan dia Hakikah al-Muhammadiyyah [bukan nabi Muhammad s.a.w. yang
di Mekah dan Medinah secara zahir itu], ; ketiga wahidiyyah dinama akan dia
‘ta’ayyun thani’, yaitu ibarat daripada ta’aluk ilmuNya akan ZatNya dan segala
SifatNya dan segala maujudat atas jalan tafsil [terperinci satu demi satu,
tetapi masih dalam Ilmu Allah yang Kadim dan azali], dan dinamakan dia hakikat
insaniah [tidak bersangkut dengan manusia itu lagi, sebab ini beluam ada
apa-apa].Maka ketiga[-tiga] martabat ini [martabat Ahadiah, Wahdah dan
Wahidiyyah] itu kadim lagi dinamakan martabat keTuhanan.
Katanya:
Dan adalah [ia, yang dikatakan martabat keTuhanan,
belum ada apa-apa yang lain itu] diu[m]pamakan ‘ilman martabat Ahadiyah
seperti kertas yang lapang, yang tiada di dalamnya suatu kaid jua [tak ada
kaitan dengan apa-apa], demikian rupanya O .Sebab inilah dinamakan ‘martabat
itlak’ yakni lepas daripada ada sesuatu dan ‘la ta’ayyun’.[Dikatakan
demikian] dengan sebab tiada ada nyata sesuatu juapun .
Wahdah
Katanya:
Dan mithal pula akan martabat wahdah itu u[m]pama noktah
di dalam da’irah [atau bulatan] yakni titik yang satu demikian
rupanya . , maka noktah itu asal bagi segala huruf, yakni menerima lagi
mengandung segala huruf yang hendak disuratkan, tetapi ijmal di dalamnya yakni
berhimpun di dalamnya tiada ada kenyataan huruf,
Wahidiyyah
Dan mithal pula akan martabat wahidiyyah itu u[m]pama
‘alif’ asatu huruf yang lain yang nyata dalam dairah [atau bulatan] demikian
rupanya O [maka dibuat rajah bulatan ditengah-tengahnya ada alif], maka alif
itu kesempurnaan noktah yang ijmal lagi ta’ayyun yang nyata sekira-kira tiada
menerima paling lagi, sebab itulah dinamakan ta’;ayyun thani’, kerana noktah
itu ta’ayyun awal, dan alif itu ta’ayyun thani , demikianlah mithal bila
tashbih, walillahi’l-mathalul-a’la [ayat Qur'an surah al-Nahl ayat
60].
Katanya;
Dan demikian lagi [di]mithalkan pula oleh
setengah ulama akan ketiga martabat itu supaya me[ng]hampirkan [kepada] faham
kita , maka martabat ahadiyah itu seu[m]pama zihin [atau fikiran atau
minda] kita tatkala sunyi ia daripada musta’kalkan sesuatu yakni merupakan
suatu [dalam fikiran itu minda itu], maka dikatakan ‘la ta’ayyun’.Maka apabila
memulai engkau pada musta’kal kan sesuatu maka dinamakan ta’yyun awal’ dan
apabila [di]lanjutkan (folio 2A)
ta’akul itu, lagi berkekalan pula ia dinamakan
ta’ayyun thani ; maka adalah dua martabat ini [dalam syuhud orang yang 'arif
dalam pandangannya yang tinggi itu] yaitu wahdah dan wahidiyyah ibarat daripada
dairah [atau lingkungan] ilmunya yang kadim; maka dari kerana inilah [maka] dinamakan
dia ‘a’yan thabitah’ ['ain-'ain yang tetap dalam ilmu Allah yang kadim dan
azali belum tercipta lagi]; maka ertinya ‘a’yan thabitah’ itu barang yang sabit
di dalam ta’aluk ma’lum ilmuNya Allah ta’ala pada azalnya, tiada ada di sana
itu melainkan ZatNya [semata-mata] dan segala SifatNya yang kadim jua.
A’yan Thabitah
Tentang a’yan thabitah itu katanya:
Maka a’yan thabitah itu [ialah] barang yang tiada
mencium bau wujud, yakni belum lagi keluar daripada kalimah ‘kun’, maka
apabila dikehendaki akan wujudnya, maka dikhitabkan kepada a’yan thabitah
dengan [seolah-olahnya-uem] dijadikan kuat pendengaran daripadanya dan dilafaz
‘kun’ maka jadilah seumpama yang a’yan thabitah itu dengan Kodrat Allah
subahanahu wa ta’ala , maka dinamakan dia kemudian daripada wujud khitab itu
a’yan kharijiyyah; maka adalah ia muhdath [baharu], yang baharu, kerana athar
[atau bekas, kesan] Kodrat yang kadim.Maka jangan engkau sangkakan a’yan
kharijiyyah yaitu daripada a’yan thabitah, kerana a’yan thabitah itu
tiada mencium bau wujud sekali-kali lagi kadim, betapa ia menerima keluar ,
maka betapa jadi hadath [atau hadith, baharu], , maka hanyasanya yang a’yan
kharijiyyah itu ‘bayan’ bagi a’yan thabitah.
Dan adapun a’yan thabitah itu ka’in,[ada], yakni tetap
ada iaitu, sabit, berkekalan seperti adaNya jua, kerana ma’lim ilmuNya itu
tiada bercerai daripada ZatNya, seperti tiada bercerai segala sifatNya yang
kadim.Demikian difahamkan perkataan ini.
A’yan Kharijiyyah
Tentang a’yan kharijiyyah, katanya:
Dan adalah a’yan kharijiyyah itu martabat ‘ubudiyyah,
yakni kehambaan, dan adalah martabat ta’ayyun awwal dan ta’ayyun thani makam
anbia’ dan aktab [para wali kutub], yang dapat mawarinya (?)
daripada mereka itu daripada kadarNya dan pada dapat ia pandangkan wahdah di
dalam kathrah [pandang yang satu dalam yang banyak dalam pendangan kerohanian]
ialah makam [atau darjah kerohanian] orang yang taraqqi [orang yang mendaki]
yakni memandang Allah ta’ala di dalamk tiap-tiap sesuatu [bukannya secara erti
hulul, seperti Tuhan 'meresap' ke dalam sesuatu, sebab Tuhan bukan benda],
seperti kata ahli’Llah, ‘ma ra’aitu shai’an illla wa ra’aitu’Llaha fihi’:
ertinya tiada aku pandangkan sesuatu merlainkan ku pandang Allah padanya’.Maka
tiada menegahkan banyaknya itu [iaitu banyaknya dan pelbagainya makhluk itu]
akan memandang keesaan Allah t’ala (folio 2B)
Dan dapat pula memandangkan ‘kathrah’ di dalam wahdah,
yaitu makam orang yang tanazzul, yaitu memandang yang banyak yang ia segala
[yang] baharu ini di dalam wahdah , yakni Tuhan yang esa.Maka tiadalah
menegahkan bagi segala yang ‘arif yang kamil mukammil [yang sempurna segi
rohani dirinya dan boleh menyempurnakan orang] itu daripada menilik keduanya
kerana kathrah itu tidak dapat tiada daripada wahdahnya, kerana tiada dapat
istiqlal [yakni menjadi merdeka tersendiri] sendirinya sekali-kali, kerana
keadaan wahdah itu mempunmyai sifat dan asma’ dan af’al yang memnyabitkan athar
Kodrat dan Iradah yang menyabitkan kathrah yaitu wujud segala alam.
Selepas itu, katanya tentang kata-kata ibn ‘Arabi:
Maka apabila engkau faham daripada perkataan ini,
engkau ketahui pula akan kata-kata Imam al-’Arifin Saidi Muhyil-Din ibn
al-’Arabi di dalam kitab Manazil al-Insaniyyah,demikian bunyinya:
[dalam] syair: ‘kunna hurufan ‘aliyat …(tak terang) …ertinya: Telah adalah kita
sekelian beberapa huruf yang amat tinggi [sebagai ilmu Tuhan yang kadim dan
azali sebelum dicipta olehNya ala mini], belum lagi dijadikan akan kita dengan
firmanNya ‘kun’, dan adalah kita muta’allaq [bergantung bersambung-sambung
antara satu dengan lain tidak bercerai-cerai] dengan segala kita, yakni adalah
segala makhluk itu adalah ia di dalam inkishaf Ilmu Tuhan kita [yakni
kita berada dalam nyata Ilmu Tuhan kita], masing-masing, dan bercerai-cerai
mahiyyahnya, dan itu adalah dalam kepala-kepala segala bukit, yakni kemuncak
aku-engkau di dalamnya, dan kami dan engkau, dan engkau dan ia, dan sekelian pada
‘huwa’ itu Ia jua.
Lepas itu katanya;
Maka tanyai olehmu orang yang wasil [yang mencapai
ma'rifat dan mengenal Tuhan sebenarnya], yakni orang yang sampai, maka
dikehendaki oleh syaikh dengan katanya: Telah adalah kita sekelian beberapa
huruf yang amat tinggi belum lagi dijadikan akan kita ini, yakni telah adalah
kita pada azal beberapa haqa’iq ghaibiyyah [hakikat-hakikat yang ghaib] yang
thabit sekelian kita di dalam ilmu hak ta’ala belum lagi kita dijadikan… kerana
adalah bagi tiap-tiap yang maujud (folio 3A)…
Itu ada dengan ‘mahiyyah’ kejadiannya, dan adapun
halnya dan martabatnya dan hukumnya dan adalah sekelian itu lagi di dalam
ma’lum ilmu [Tuhan] yang kadim, dan dikehendaki dengan katanya ‘dan adalah yang
demikian itu di dalam kepala-kepala segala bukit’, yakni di dalam ta’ayyun
awal, yang dinamakan dia martabat wahdah yang ijmal yang terdahulu sebutnya,
Katanya lagi:
Dan yang dikehendaki dengan katanya ‘aku engkau di
dalamnya dan kami engkau dan engkau ia’ itu, yakni daripada pihak
ijmalnya belum lagi tafsil, tiada berbeza setengah daripada setenganya.Martabat
itu tetapi aku itu aku jua dan engkau itu engkau jua dan ia ia jua, misalkan
yang demikian itu dengan tiada tashbih, seperti air digugurkan ke dalam laut,
maka tatkala itu adalah kita dapat membezakan dia daripada air laut maka kita
kata air itu laut, dan laut itu air, tetapi yang laut itu laut juga dan air itu
air jua, tiada dapat bertukar kerana adalah segala hakikat itu tiada dapat
bertukar-tukar
Katanya lagi:
Dan taktkala nyatalah kita ingat akan air yang setitik
itu sebab hairan kita daripada memandang laut maka tatkala itu dapat kita kata
sekelian itu laut [dan janganlah pula terfikir dengan misalan ini bahawa Allah
itu bersambung zatNya dengan zat kita, Allah adalah Allah, Tuhan kita, kita
adalah makhluk ciptaanNya].
Katanya;
Dan dikehendaki dengan katanya:’ dan sekeliannya pada
‘huwa’ itu ia jua yakni adalah sekelian pada martabat ahadiah daripada pihak
tamsi [yakni terhapus dalam penyaksian batin serwaktu dalam pengelaman rohani
yang berkenaan] yakni hapus di dalamnya ia jua, kerana nyata tiada
menerima di sana lain daripada nama ‘huwa’ dan ia nama hadrat ‘la shay’ ma’ahu
[tiada sesuatu denganNya, merujuk kepada hadith yang bermaksud, telah
adalah Allah walhal tiada ada sesuatu berserta denganNya], dan segala hadrat
yang dibawahNya [di bawah dari segi darjat hakikinya, 'ontologinya'] di namakan
hadrat ‘wa huwa ma’akum ainama kuntum’ [Ia bersama dengan kamu di mana kamu
berada], dan dikehendaki dengan katanya ‘maka tanya olehmu akan orang yang
wasil…
Comments