Dr Yusuf al-Qaradawi telah menggariskan 10 jalan penyelesaian ekonomi Islam, yang merupakan sebahagian daripada ciri-ciri penyelesaian Islam itu sendiri, iaitu:
1.Memberi peluang pekerjaan yang sesuai kepada semua penduduk yang berupaya bekerja (job creation). Islam menganggap pekerjaan adalah hak penduduk dan kerajaan wajib menyediakannya dengan peluang latihan kemahiran yang mencukupi. Dengan itu, semua orang yang berupaya bekerja akan memperoleh pekerjaan dan dapat menyara kehidupan dirinya sendiri.
2.Memberi ganjaran saksama (fair compensation) kepada semua pekerja berpadanan dengan kerja yang dilakukan dan mencukupi perbelanjaan yang sepatutnya. Ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang telah membahagikan harta rampasan perang dengan kadar satu bahagian kepada tentera pejalan kaki dan dua atau tiga bahagian kepada tentera berkuda. Selain itu, Baginda telah membahagikan harta al-fai’ satu bahagian kepada tentera yang masih bujang dan dua bahagian kepada tentera yang telah berkahwin.
3.Memungut zakat dari semua jenis harta kekayaan, ternakan, pertanian dan pendapatan, untuk dibahagikan kepada lapan golongan penerima zakat (income distribution). Dengan itu, zakat dapat mengumpul dana dan melaksanakan takaful keadilan sosial, memerangi pembolotan harta, membasmi amalan riba, menyelamatkan orang yang berhutang daripada kehinaan hutang selain menggiatkan gerakan dakwah Islam untuk golongan ‘yang dijinakkan hati kepada Islam’ dan ‘untuk jalan Allah’.
4.Menyediakan pembiayaan kepada mereka yang tidak berupaya melakukan kerja dengan kadar yang dapat memenuhi keperluan asasi mereka (safety net), antaranya golongan OKU, mangsa kemalangan dan kelemahan kekal.
5.Merampas semua harta yang terhasil melalui jalan yang haram seperti merompak, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Segala hasil rampasan ini hendaklah dibelanjakan kepada kegunaan umum atau untuk kumpulan yang tidak berupaya.
6.Menjalankan hisbah (audit) kepada pegawai tinggi negara yang memiliki harta melalui jalan yang tidak dibenarkan. Ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menyiasat Ibnu al-Latbiyah dan mengikut amalan Saidina Umar yang menjalankan audit ke atas wakil-wakilnya yang mentadbir di wilayah lain.
7.Memerangi pembaziran dan bermewah di dalam masyarakat, dan mendekatkan jurang ekonomi (inequality of income) di antara individu dan kelompok masyarakat. Ini diambil dengan menyekat kerakusan orang kaya, mempertingkatkan taraf kehidupan orang miskin, dan menghapuskan kezaliman yang menindas orang lain dengan cara yang batil.
8.Memperdekatkan kampung dan bandar supaya penduduk luar bandar tidak dibiarkan ketinggalan. Kerajaan hendaklah memberikan perhatian untuk meningkatkan taraf kesihatan, pendidikan, sosial dan ekonomi luar bandar, bagi mengecapi nikmat pembangunan bersama.
9.Membersihkan semua institusi kewangan daripada najis riba dan segala bentuk muamalah yang bercanggah dengan syariat Islam. Kerajaan hendaklah menubuhkan bank Islam yang melaksanakan muamalah tanpa riba dan menutup semua bank yang melaksanakan muamalah riba. Di sana ada peluang yang luas untuk mempraktikkan segala teori ekonomi Islam kepada alam realiti bagi sesiapa yang mempunyai keazaman yang kuat.
10.Membuat perancangan berlandaskan ilmu dan kajian untuk menambah pendapatan, kekayaan dan kekuatan ummah. Umat Islam hendaklah memanfaatkan kerjasama ekonomi di antara negara-negara Islam untuk mendorong kemajuan pembangunan, seterusnya membebaskan diri daripada bergantung kepada kuasa besar dunia yang lain. 

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr