UJIAN TERHADAP UMAT ISLAM MASA KINI



UJIAN TERHADAP UMAT ISLAM MASA KINI

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sememangnya kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian dan dugaan dari Allah Subhanahu Wataala. Ujian tersebut baik berupa kesenangan mahupun kesusahan dan penderitaan adalah bertujuan untuk menguji keimanan, ketaqwaan dan kesabaran seorang Muslim itu. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang tafsirnya :

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:kami beriman, sedang mereka tidak di uji dengan sesuatu cubaan?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian, nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuinya tentang orang-orang yang berdosa".

Oleh yang demikian tidak dapat dinafikan lagi bahawa setiap Muslim itu akan menerima ujian dan dugaan dalam kehidupannya di dunia ini. Samaada berupa kehilangan jiwa, harta benda, anggota tubuh badan dan sebagainya, bahkan termasuk juga ujian berupa gangguan dari musuh-musuh Islam. Perkara itu telah dijelaskan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 186 yang tafsirnya :

"Demi sesungguhnya kami akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang
musyrik. Banyak tuduhan-tuduhan dan cacian yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya".

Dalam Tafsir al-Maraghi ada menjelaskan bahawa Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat serta umat Islam telah menerima ujian yang di antaranya berupa kata-kata tuduhan, ejekkan dan celaan kaum Yahudi, Nasrani dan kaum Musyrikin. Antara buktinya ialah:

Pertama:Peristiwa penuduhan terhadap Aisyah Radiallahu Anhu selaku Umul Mu'minin bahawa beliau telah berbuat serong.

Kedua:Gangguan pelanggaran perjanjian kaum Yahudi serta usaha mereka untuk membunuh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, sehinggalah kaum Yahudi diusir dari Madinah maka amanlah kota itu daripada kejahatan mereka.

Ketiga:Persepakatan kaum Yahudi dengan tentera sekutu kaum musyrikin untuk menyerbu Madinah dalam usaha menumpaskan umat Islam, dimana umat Islam telah dikepong dan ditekan hingga mengalami suatu ujian yang amat hebat dan mengalami penderitaan yang berat.

Jika kita imbas kembali sejarah umat Islam sememangnya tidak terlepas daripada menerima ujian dan dugaan yang banyak semenjak zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi, bahkan ianya berterusan hingga zaman Khulafa Ar-Rasyidin hinggalah masa kini. Inilah yang terjadi kepada saudara-saudara kita yang berada di Lubnan dan Palestin yang kini menghadapi penindasan dan serangan hebat daripada tentera Israel yang menceroboh negara mereka serta melakukan pengeboman dan kekejaman sehingga mengakibatkan kematian beribu-ribu orang, mencederakan ribuan penduduk dan beratus-ratus ribu lagi terpaksa meninggalkan kediaman meraka dan menjadi pelarian dinegara sendiri. Mereka bukan sahaja kehilangan orang yang dikasihi, kehilangan tempat tinggal dan juga pekerjaan, tetapi juga menghadapi penderitaan akibat daripada kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang diperlukan.

Apabila menyaksikan penderitaan yang dialami oleh meraka yang menghadapi musibah tersebut, sudah tentu tersirat didalam hati dan sanubari kita perasaan belas kasihan dan simpati terhadap nasib yang menimpa mereka. Oleh itu sebagai umat Islam yang diikat dengan tali persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam kita bersama dengan negara-negara Islam yang lain dan Negara yang mencintai keamanan dan kedamaian amatlah kesal dengan perbuatan tentera Israel itu. Sememangnya kita mengecam serta mengutuk apa jua tindakan yang tidak menghormati kedaulatan negara lain apatah lagi sampai bertindak diluar batasan prikemanusiaan seperti pembunuhan orang-orang yang tidak berdosa.

Sebagai usaha dan rasa simpati kita selaku umat Islam yang cinta terhadap saudara-saudara kita sesama Islam, marilah kita memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu Wataala dengan menunaikan sembahyang sunat Hajat selepas sembahyang Fardhu disemua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dan membaca doa Qunut Nazilah pada setiap sembahyang Fardhu Juma'at bagi memohon umat Islam seluruh dunia selamat dan terpelihara dari akibat peperangan tersebut, kerana berdoa kepa Allah Subhanahu Wataala itu adalah sebaik-baik cara untuk memohon pertolongan. Sepertimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 yang tafsirnya :

"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku maka(beritahu kepada mereka) sesungguhnya aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka): Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahku) dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul".

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam riwayat Imam Hakim yang maksudnya :

"Daripada Ali Radiallahu Anhu telah berkata, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Doa adalah senjata bagi orang Mukmin".

Akhirnya marilah kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan mengambil ikhtibar dari dari segala ujian Allah Subhanahu Wataala terhadap kita yang sentiasa berdoa memohon pertolongannya pada setiap masa dan keadaan, agar kita, negara kita, dan umat Islam seluruhnya sentiasa terselamat dan terpelihara dari segala musibah dan bencana. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ma'idah ayat 82 yang tafsirnya :

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik".

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr