Allah SWT menjelaskan bahawa cara untuk berhadapan dengan ujian ini adalah dengan meminta pertolongan daripada-Nya dengan sabar dan mengerjakan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45) Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah mintalah pertolongan di atas segala bala yang menimpa ke atasmu dengan cara bersabar menanggung segala kesusahan (masyaqqah) dan segala kesukaran terhadap jiwa daripada segala taklif syarak. Syed Qutb pula menyebut dalam Fi Zilal al-Quran: “Perkataan ‘minta tolong dengan sabar’ banyak diulang-ulang kerana ia merupakan bekalan yang semestinya wujud dalam pertembungan dengan sebarang kesusahan (masyaqqah)." Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. (at-Thalaq: 2-3) Imam Nawawi dalam menjelaskan ayat ini menyatakan bahawa ia diturunkan berhubung satu peristiwa di mana seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang kerisauannya kerana anaknya telah ditawan oleh pihak musuh. Lalu dia dinasihatkan bersabar oleh Rasulullah SAW maka dia bersabar. Tidak lama kemudian, anaknya berjaya melepaskan diri daripada tawanan musuh.

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr