Dalam pada berdoa, terdapat beberapa adab yang selayaknya dipatuhi agar diterima di sisi Allah SWT dengan sempurna. Antaranya; 1 Mengangkat tangan ketika berdoa seperti perlakuan Nabi SAW sehingga kelihatan putih ketiaknya ataupun mengangkat tangan selari dengan kedua-dua belah bahu. Jika terdapat hal yang mendesak, maka bolehlah diangkat lebih daripada itu kerana beramal dengan sunnah Rasulullah SAW. 2 Setelah selesai berdoa, bolehlah disapukan kedua-dua belah tangan ke muka. 3 Setiap doa hendaklah dimulakan dengan ucapan alhamdulillah sambil memuji-muji kebesaran-Nya. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: “Apabila seseorang antara kamu berdoa, maka hendaklah dimulai dengan mengucap syukur kepada Allah SWT sambil memujinya, kemudian hendaklah berselawat atas Nabi Muhammad SAW lalu diiikuti dengan memohon sebarang doa." (riwayat Abu Daud, an-Nasaie dan at-Tirmizi) 4 Kemudian berdoalah dengan khusyuk sambil bersangka baik kepada Allah SWT yang Maha mendengar lagi Maha memperkenankan segala doa. Ini disertai dengan perasaan takut kepada kekuasaan dan keagungan-Nya, kerana Allah SWT tidak menerima doa dalam keadaan yang lalai. 5 Boleh juga doa tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali sebagaimana riwayat Ibnu Mas’ud yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila berdoa, berdoa sebanyak tiga kali, dan apabila meminta kepada Allah SWT Baginda juga meminta sebanyak tiga kali. (riwayat Muslim) 6 Pintalah segala hajat sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi ataupun ukhrawi. Usah berdoa untuk keburukan dan kecelakaan orang lain. Seelok- eloknya diganti dengan doa-doa yang baik, semoga beroleh hidayah dan petunjuk daripada-Nya. Nabi Muhammad SAW pernah dibaling dengan batu oleh kanak- kanak semasa berdakwah di Taif hingga berdarah kakinya yang mulia, namun Baginda tetap mendoakan mereka dengan kebaikan. Justeru, adalah lebih baik mendoakan kesejahteraan keluarga, ibu bapa, jiran tetangga, dan kaum Muslimin seluruhnya. Berdoa supaya diampunkan dosa, diterima segala amal agar layak menempati syurga-Nya adalah antara doa yang baik untuk dilafazkan. 7 Selain itu, hendaklah berdoa dalam keadaan menghadap ke arah kiblat kerana sebaik-baik perhimpunan adalah dengan menghadap kiblat. Ini dikecualikan kepada imam yang berdoa setelah selesai solat berjemaah, yang mana dia disunatkan menghadap ke arah makmum, sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad SAW yang menghadap ke arah para sahabat. 8 Eloklah seseorang yang berdoa berada dalam keadaan berwuduk sambil banyak beristighfar dan bertaubat. Berdoa dalam hati adalah lebih baik berbanding doa yang dilafazkan secara terang-terangan kerana hal ini lebih dekat kepada keikhlasan dalam berdoa. 9 Makruh jika berdoa dengan suara yang terlalu kuat. Malah jika berdoa setelah selesai solat berjemaah di masjid, imam hendaklah memperhatikan jemaah yang kemungkinan masbuq atau baru memulakan sembahyang yang kemungkinan terganggu dengan bacaan doa yang terlalu kuat. 10 Digalakkan juga bertawasul dengan nama-nama Allah SWT Yang Maha Agung, selain doa disertai dengan banyak bersedekah serta memilih waktu-waktu yang sesuai lagi mustajab untuk berdoa. 11 Pilihlah doa-doa yang pernah dibacakan oleh Nabi SAW kerana logiknya doa tersebut mustajab di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan apabila kita menyebutnya turut diperkenankan oleh Allah SWT. Ingatlah betapa doa adalah senjata Mukmin, gunakalah senjata tersebut dengan sentiasa menyandarkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr