Firman Allah: (maksudnya) “dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Syu’aib, dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dariNYA, dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi.” (Quran Karim, Surah Hud ayat 84).

Ingatan Nabi Shu’aib yang lain ialah: (maksudnya) “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85).

Intipati yang penting dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari keberkatan yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang halal. Shu’aib a.s: (maksudnya) “Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu". (Surah Hud, ayat 86).
Apapun, nasihat-nasihat Nabi Syu’aib adalah kunci kepada urustadbir harta yang baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah sebut: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr