Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca Surah al-Fatihah, tetapi untuk meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan membolehkan seorang pesakit, seperti sakit terkena gigit kala jengking ataupun lipan boleh sembuh, sering dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima.  Malah kita sendiri mungkin tidak yakin bahawa usaha seperti ini boleh berjaya.  Tetapi, kesembuhan seperti ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa, tidak digagahi oleh sesuatu, apabila Ia menghendaki sesuatu, Ia berkata: jadilah maka jadilah (Surah Yasin: 82).

Doa yang makbul
Allah s.w.t. menyuruh setiap hambaNya agar berdoa, memohon kepadaNya, dan Allah s.w.t. akan memperkenankannya, sama ada diberi dengan cepat, lambat, diberi ketika seseorang itu hidup di dunia ataupun di akhirat kelak. Jelas di sini bahawa bukan sesuatu yang mustahil doa-doa yang dibaca oleh seseorang itu boleh menyebabkan sakit yang dideritai oleh seseorang itu sembuh dengan izin Allah, biar betapa berat derita yang dialami atau betapa besar masalah yang ditanggung oleh seseorang.
Doa-doa yang dibaca hakikatnya bukan merupakan faktor utama kesembuhan. Dua orang yang cuba merawat pesakit dengan menggunakan bacaan Surah alFatihah, ataupun lain-lain doa, tidak semestinya melahirkan natijah yang sama.
Mungkin salah seorang daripada pesakit akan sembuh, ataupun semakin teruk, padahal doa yang dibaca adalah sama.  Hal demikian membuktikan bahawa doa-doa yang dituturkan hanya merupakan salah satu usaha rawatan, ataupun usaha untuk memperoleh kesembuhan.  Kesembuhan yang sebenar ialah kemakbulan daripada Allah s.w.t. iaitu apabila doa-doa yang dibaca itu dikabulkan.
Kemakbulan ataupun kemustajaban doa yang dibaca pula berkait rapat dengan taraf ataupun kualiti diri seseorang di sisi Allah.  Semakin hampir seseorang itu kepada Allah, maka semakin mudahlan doa-doa yang dipohon itu dikabulkan. Orang yang hampir kepada Allah ialah mereka yang bersifat warak, zuhud dan  taqwa.  Apabila seseorang hamba itu hampir kepada Allah, maka Allah akan mengasihinya.

Orang-orang yang dikasihi Allah ialah mereka yang melakukan amalan-amalan yang difardukan, juga amalan sunat secara terus menerus.  Allah akan memberi kekuatan dan memperkenankan doa-doa andainya ia memohon, dan melindunginya apabila ia berbuat demikian.

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr