Ilmu Maqasid al-Syari`ah (مقاصد الشريعة) atau al-Maqasid al-Syar’iyyah (المقاصد الشرعية) adalah satu bidang ilmu yang membahaskan tentang tujuan, matlamat, natijah, kesan, hikmah dan illah (punca asas dan sebab) di sebalik perintah-perintah Allah S.W.T yang terkandung dalam hukum-hakam syariat.
Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
ذَلِكَ مِمَّا أَوْحَى إِلَيْكَ رَبُّكَ مِنَ الْحِكْمَةِ وَلَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آَخَرَ فَتُلْقَى فِي جَهَنَّمَ مَلُومًا مَدْحُورًا
“Perintah yang demikan itu ialah sebahagian dari hikmah yang diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah itu terdapat tuhan yang lain. Kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah).” [Al-Isra’: 39]
Ayat di atas ini datang setelah Allah S.W.T menyatakan sejumlah perintah dan larangan (hukum-hakam berkaitan akidah, syariat dan adab) seperti menjauhi perbuatan syirik, berbuat baik kepada ibu bapa, menunaikan hak kaum kerabat, orang miskin, ibnu sabil, larangan bersikap boros dan terlampau bakhil, tegahan menghampiri perbuatan zina, larangan membunuh, hak qisas bagi waris si mati, larangan memakan harta anak yatim, perintah menunaikan akad, jujur dalam berjual beli, larangan mengikut sesuatu tanpa ilmu pengetahuan, larangan daripada bersikap sombong dan seumpamanya.
لَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آَخَرَ
“Janganlah engkau adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu),” [Al-Isra’: 22]
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” [Al-Isra’: 23]
وَآَتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.” [Al-Isra’: 26]
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan;” [Al-Isra’: 31]
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” [Al-Isra’: 32]
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” [Al-Isra’: 33]
وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya),” [Al-Isra’: 34]
وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ
“Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil.” [Al-Isra’: 35]
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;” [Al-Isra’: 36]
وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong,” [Al-Isra’: 37]
Setelah itu pada ayat ke-39 di atas, Allah menyatakan kesemua perintah dan larangan ini mengandungi hikmah kebijaksanaanNya dan janganlah sehingga disyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.
Ini jelas menunjukkan bahawa setiap hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah S.W.T mengandungi hikmah-hikmah yang tersendiri. Mengkaji hikmah-hikmah yang terkandung di sebalik hukum-hukum syarak inilah yang dikenali sebagai ilmu Maqasid al-Syari`ah.
Takrif dan definisi
1. Apa itu Maqasid?
Dalam Bahasa Arab, perkataan Maqasid (مقاصد) merupakan kata jamak (plural) daripada maqsud (مقصود) atau maqsad (مقصد) yang bermakna; tujuan, matlamat atau objektif.
المَقْصُودُ ، أَو المَقْصَدُ : هُوَ مَا تَتَعَلَّقُ بِهِ نِيَّتُنَا وَتَتَّجِهُ إِلَيْهِ إِرَادَتُنَا ، عِنْدَ الْقَوْلِ أَوْ الْفِعْلِ .
Al-Maqsud atau al-Maqsad: adalah apa yang berkaitan dengan niat kita dan kehendak kita menjurus ke arahnya dalam percakapan atau perbuatan.
[Prof.Dr.Ahmad al-Raisuni, Al-Madkhal Ila Maqasid as-Syari`ah al-‘Ammah, Darul Kalimah, Kaherah – cetakan ketiga 1435H/2014M, hal.9]
Dalam al-Quran, Allah menerangkan makna qasad (tujuan atau matlamat).
Firman Allah Ta’ala:
وَعَلَى اللَّهِ قَصْدُ السَّبِيلِ وَمِنْهَا جَائِرٌ وَلَوْ شَاءَ لَهَدَاكُمْ أَجْمَعِينَ
“Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus; dan di antara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran; dan jika Ia kehendaki, tentulah Ia memberi petunjuk kepada kamu semua (yang menyampaikan ke jalan yang lurus itu).” [Al-Nahl: 9]
Iaitu: Menentukan dan menjelaskan jalan yang dituju dan lurus yang tiada padanya penyelewengan dan kesesatan.
[Dr.Abdul Karim Abdul Hamid al-Khalaf, Al-Maqasid as-Syar`iyyah al-‘Ammah wa Thuruq Itsbatiha, Darul Jami`ah Dzimar, Republik Yemen – cetakan pertama 1428H/2007M, hal.23]
2. Apa itu Syari`ah?
Syari`ah dari segi Bahasa Arab berasal dari kata kerja “syara`a” (شَرَعَ);
شَرَعَ يَشْرَعُ شَرْعًا : شَرَعَ اللهُ الدِّيْنَ : سَنَّهُ وَبَيَّنَهُ
Iaitu perkataan (شَرَعَ) boleh memberi maksud; “Meletakkan dan menjelaskan sesuatu perkara”.
[Al-Mu’jam al-Arabiy al-Asasiy, hal.281]
وتُطْلق العربُ الشريعةَ أيضاً على نَهْجِ الطريقِ الواضحِ
Orang Arab menggunakan perkataan “syari`ah” juga dengan makna melalui jalan yang jelas nyata.
[Prof. Dr.Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar, Al-Madkhal Ila al-Syari`ah wal-Fiqh al-Islami, Dar al-Nafais, Amman – cetakan kedua 1433H/2012M, hal.16]
Di dalam al-Qur’an, perkataan syari`ah disebut dalam beberapa ayat. Di antaranya firman Allah Ta’ala:
شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ
“Dia (Allah) telah mensyariatkan (menetapkan dan menjelaskan) kepada kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah padanya.” [Al-Syura: 13]
شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ
“Dia (Allah) telah mensyariatkan (menetapkan dan menjelaskan) kepada kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah padanya.” [Al-Syura: 13]
Firman Allah Taála:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syari’at (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syari’at itu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” [Al-Jatsiyah: 18]
Dengan ini dari segi istilah, perkataan syari’ah membawa maksud:
الشرع ما شَرَعَ اللهُ لِعِبادِهِ مِن الدِّين ، أي: سَنَّه لهم ، وافْتَرَضَهُ عليهم
Syari`at itu adalah apa yang Allah telah tentukan untuk hamba-hambaNya daripada ketentuan agama. Iaitu: Dia meletakkannya untuk mereka dan memfardukan ke atas mereka.
[Ibid: hal.16. Lihat juga Ibn Al-Atsir, Al-Nihayah 2/460]
أن الشريعة تشمل كل ما أنزل الله من الأحكام عقائدية ، أم عملية ، أم أخلاقية ، وأن جملة الأحكام المنزلة من عند الله تعتبر شريعة، وأن العقيدة لا تنفرد عن الشريعة ، وأن العقيدة أصل يدفع إلى الشريعة ، والشريعة تكون عبارة عن تلبية الجوارح للعمل بالعقيدة
“Sesungguhnya syariat itu merangkumi segala apa yang diturunkan oleh Allah daripada hukum-hakam yang berkaitan dengan akidah, amalan dan akhlak. Bahawa seluruh hukum-hakam yang diturunkan dari sisi Allah adalah dianggap sebagai syariat, bahawa perkara akidah itu tidak terasing daripada syariat. Akidah adalah asas yang mendorong kepada syariat. Syariat adalah umpama sahutan balas daripada anggota tubuh untuk beramal dengan tuntutan akidah.."
[Dr.Ali Ahmad al-Qulaishi, Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, Maktabah al-Irsyad – cetakan kedua 1416H/1996M hal.12-13]
3. Apakah itu Maqasid al-Syari`ah?
Menurut Prof. Dr. Ahmad ar-Raisuni, Maqasid as-Syari’ah adalah ilmu berkaitan dengan:
هي المعاني والغايات والآثار والنتائج ، التي يتعلق بها الخطاب الشرعي والتكليف الشرعي ، ويريد من المكلفين السعي والوصول إليها .
“Tujuan-tujuan, matlamat-matlamat, kesan-kesan dan natijah-natijah yang bersangkutan dengan perintah dan tuntutan syarak yang menghendaki daripada orang-orang yang mukallaf agar berusaha untuk mencapainya.”
[Dr.Ahmad ar-Raisuni, Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, hal.9]
Setiap perbuatan dan tindakan pasti akan menghasilkan kesan dan akibat.
Maka itu, pelaksanaan sesuatu hukum syariat adalah berkaitan dengan hasil dan natijah tertentu yang ingin dicapai.
Menurut sebahagian ulama,
Maqasid Syari`ah adalah berkaitan dengan maslahat (kebaikan atau kepentingan) sama ada mendatangkan manfaat atau menolak mudarat.
[Dr.Abdul Karim Abdul Hamid al-Khalaf, Al-Maqasid as-Syar`iyyah al-‘Ammah wa Thuruq Itsbatiha, hal.23]
Sebahagian ulama juga menyebutnya sebagai hikmah. Menurut Al-Qadhi Iyadh (544H):
الالتفات إلى قواعد الشريعة ومجامعها ، وفهم الحكمة المقصودة بها من شارعها
“(Maqasid Syari`ah) adalah penumpuan kepada kaedah-kaedah syarak dan segala himpunannya, memahami hikmah yang dimaksudkan dengannya daripada (Tuhan) yang mensyariatkannya.”
[Lihat: Abu al-Fadhl Iyadh bin Musa bin Al-Iyadh, Al-Qadhi Iyadh, Tartib al-Madarik, hal.1806]
Oleh yang demikian, dalam membicarakan tentang sesuatu objektif dalam ilmu Maqasid al-Syari`ah memerlukan pemahaman tentang syariat itu sendiri. Juga mestilah selari dengan segala tuntutan hukum-hakam akidah, syariat dan akhlak yang diturunkan oleh Allah S.W.T dan dilaksanakan secara praktikal oleh Rasulullah S.A.W.
Kini kedengaran begitu ramai orang yang bukan ahlinya berbicara tentang Fiqh al-Maqasid atau Maqasid al-Syari’ah tanpa mengetahui asas-asasnya dan tanpa memahami prinsip-prinsipnya. Oleh itu, jika semata-mata mengambil maqasid (objectives/purposes) tanpa membawa pelaksanaan syariat adalah terkeluar daripada perbahasan ilmu ini dan membawa kepada kepincangan yang nyata.
Perkembangan Ilmu Maqasid al-Syari`ah
Maqasid al-Syari’ah telah berkembang menjadi satu ilmu yang mempunyai disiplin yang tersendiri. Dikatakan tokoh yang membahaskan ilmu ini secara lengkap ialah Al-Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Syatibi (790H) dalam satu juzuk daripada karyanya Al-Muwafaqat Fi Usul al-Syari`ah.
Namun perbahasannya masih lagi dalam kerangka ilmu Usul al-Fiqh dalam kitab tersebut yang asalnya berjudul `Unwan al-Ta'rif bi Usul al-Taklif.
Kemudian tokoh yang pertama dipercayai membahaskan ilmu ini secara berasingan ialah Muhammad al-Tahir bin Muhammad yang lebih dikenali sebagai Al-Imam Ibn `Asyur (1393H) melalui kitabnya Maqasid al-Syari`ah al-Islamiyah. Namun seorang lagi tokoh kontemporari iaitu Dr.Abdullah bin Bayyah membahaskan kaitan antara kedua-dua ilmu tersebut dalam kitabnya `Alaqah Maqasid al-Syari`ah bi Usul al-Fiqh yang diterbitkan tahun 1427H.
[Prof.Dr.Ahmad al-Raisuni (Universiti Muhammad V, Maghribi): Daurah “Maqasid al-Syari`ah; Majalat wa Afaq” tahun 1429H, anjuran Bahagian Dakwah Kementerian Agama dan Hal Ehwal Islam, Doha - Qatar]
Perkembangan ilmu ini telah melalui tiga fasa:
Fasa pertama:
Perbahasan secara tidak langsung dalam karya para ulama’. Antaranya Imam al-Haramain Dhiya'uddin Abdul Malik bin Yusuf al-Juwaini al-Syafi`i (478H) dalam kitabnya al-Burhan dan dikembangkan perbahasannya oleh Al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Syafi`i (505H) dalam al-Mustasfa.
Fasa kedua:
Perkembangan dan penyusunan ilmu Maqasid, iaitu karya Al-Imam al-‘Izz bin Abdul Salam al-Syafi`i (660H) dalam Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam serta Al-Qawa’id al-Sughra dan dinukil dan dikembangkan perbahasannya oleh Al-Imam Syihabuddin Abu al-`Abbas Ahmad bin Idris al-Qarafi al-Maliki (684H) menerusi karyanya al-Furuq.
Fasa ketiga:
Dibahaskan secara lengkap dan sempurna sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi (790H) para ulama usuliyyun selepasnya.
Terdapat juga ilmuan yang membahaskan perkembangan ilmu Maqasid dari zaman Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, tabi’in sehingga zaman moden ini. Antaranya ialah Dr.Abdul Karim Abdul Hamid al-Khalaf dalam kitabnya Al-Maqasid as-Syar`iyyah al-‘Ammah wa Thuruq Itsbatiha.
[Lihat: Darul Jami`ah Dzimar, Republik Yemen – cetakan pertama 1428H/2007M, hal.26-34].
Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Khasiat Fadhilat (Isnad) Doa Haikal - Majmu' Syarif

Remembrance - Zikr